Kerjaya Syaiful Reza bin Mohamed

Sebelum memulakan kerjaya dalam bidang nyanyian dan penyiaran, Reza merupakan seorang penari. Kemudiannya beliau beralih ke sesuatu yang amat berbeza iaitu sebagai penyanyi/penghibur di hotel-hotel dan kelab-kelab pada tahun 1998. Selama lebih kurang 7 tahun berkecimpung dalam kerjayanya di kelab dan hotel, Reza mencuba nasib dalam menyertai rancangan realiti Akademi Fantasia Musim ke 3 atas dorongan rakan-rakan dan keluarganya dan di situ bermulalah kerjayanya dalam bidang penyiaran.

Pada tahun 2006, Reza dipilih sebagai pengacara rancangan Durian Runtuh untuk Astro Ria dan tampil di layar perak buat pertama kalinya sebagai Azam dalam filem Malaikat Maut arahan Bade Hj Azmi, terbitan Tayangan Unggul.

Pada tahun 2008 pula, Reza dipertanggungjawabkan untuk mengacara rancangan terbitan Astro Ria, Kelab POP.

Sepanjang kerjayanya di radio nombor 1 negara, Era FM, bakat suaranya disalurkan dalam pelbagai iklan radio tanahair.